Berita YBUDR
PENYAKIT MISTERI MATA TERSEMBUL KELUAR PDF Print E-mail

SUNGAI SIPUT (U) – “Saya terpaksa lupakan dulu impian saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara menanti penyakit ini sembuh sepenuhnya,” luah Mohd Alif Syafiq Zamziba, 18.

Mohd Alif dahulu mempunyai sepasang mata cantik yang melengkapkan dirinya sebagai seorang remaja sempurna, tetapi kini semuanya berubah sejak kejadian luar biasa dan tidak disangka-sangka itu.

Penyakit misteri yang dialami menyebabkan sebelah matanya tersembul keluar dan kehidupannya bagaikan melalui mimpi-mimpi ngeri.

Mohd Alif berkata, pada awalnya daging yang tumbuh di bahagian mata kanannya hanya sedikit tetapi lama kelamaan semakin membesar dari hari ke hari sehingga tersembul keluar.

“Kejadian ini berlaku sejak Mei 2011, memang tidak sakit tetapi selepas itu saya sudah tidak mampu melihat kerana mata diselaputi daging.

“Sejak itu, kehidupan saya mula berubah kerana kekangan penyakit ini. Saya tidak boleh keluar rumah seperti biasa melainkan berubat dan tidak boleh bertemu rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Tersusun Kledang Utama, di sini, kelmarin.

Bukan sahaja menanggung derita tidak diketahui penghujungnya, Mohd Alif terpaksa melupakan impiannya dan tidak dapat meneruskan persekolahan.

“Saya sepatutnya menduduki SPM pada tahun lalu tetapi kerana penyakit ini semuanya tertangguh dan terpaksa melupakan impian seketika.

“Tetapi saya amat berharap penyakit ini cepat sembuh kerana saya tidak mahu lagi menyusahkan ibu bapa, nak ambil SPM dan meneruskan kehidupan normal,” katanya.


Pelbagai usaha dilakukan

BAPANYA, Zamziba Zabidi, 50, berkata, pelbagai usaha dilakukan demi melihat anak sulung daripada lima beradik itu sembuh seperti sedia kala.

Menurutnya, setelah perubatan moden menemui jalan buntu, perubatan tradisional juga dicuba tetapi sehingga kini benjolan di mata Mohd Alif tidak menunjukkan perubahan positif.

“Pada awalnya kami menemui pakar mata di Hospital Ipoh dan selepas itu ke Hospital Serdang serta membuat pembedahan mengeluarkan ketulan daging sebesar telur ayam.

“Selepas membuat pembedahan, keadaan tidak berubah dan matanya semakin membengkak serta pakar perubatan mengambil masa agak lama membuat kajian berkaitan kes ini,” katanya.

Katanya, pihak hospital memaklumkan penyakit itu mungkin sejenis kanser darah tetapi mahu melakukan kajian lebih spesifik dan ingin melakukan pembedahan mengambil air tulang belakang (sum sum).

“Bagi saya pembedahan seperti itu adalah jalan terakhir dan kami mencuba perubatan alternatif, sudah banyak tempat dituju tetapi tidak mampu memulihkan mata anak saya.

“Melalui rawatan tradisional, ada yang mengatakan anak kami terkena sihir atau gangguan tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terus berusaha,” katanya.


Gelisah di malam hari

BAGI ibunya, Arussita Mohd Nor, 43, penyakit misteri itu satu ujian besar dari Allah SWT terhadap anaknya dan tiada perasaan dapat menggambarkan rasa pilu di hati mengenangkan masalah itu.

“Kejadian ini berlaku tiba-tiba sahaja tanpa diketahui puncanya.

“Pernah satu ketika dia sudah hampir berputus asa dan tidak mahu lagi mendapatkan rawatan tetapi kami sebagai ibu bapa kena bagi sokongan serta kuat,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, Arussita berkata, satu kejadian pelik berlaku dua minggu lalu menyebabkan anaknya sering gelisah dan takut pada waktu malam.

“Seekor ular tedung muncul di hadapan pintu rumah kami dan anak saya sangat takut, kami juga terperanjat dengan kejadian itu.

“Suami bertindak memukul ular itu sehingga mati kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku tetapi sejak peristiwa itu Mohd Alif sukar untuk tidur malam,” katanya.

Katanya, jika sebelum ini, Mohd Alif tidak takut untuk tidur bersendirian tetapi kini dia terpaksa menemani saban malam.

“Tiada apa yang saya mahu, melainkan ingin melihat Mohd Alif sembuh dan tidak dibebani dengan penyakit ini lagi,” katanya.


Bantu ikut kemampuan

MASALAH remaja malang ini mendapat perhatian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya, Datuk Zainal Abidin Omar yang berkunjung ke rumah keluarga itu, kelmarin.

Zainal turut melahirkan simpati terhadap nasib remaja berkenaan dan berharap keluarga itu tidak berputus asa.

“Kita prihatin terhadap kes ini dan akan berusaha membantu mengikut kemampuan agardapat meringankan beban keluarga ini.

“Kita bersetuju sekiranya keluarga ini menerima saranan untuk melakukan pembedahan mengambil air tulang belakang sebagai satu usaha,” katanya.

Katanya, dari segi rawatan, pihaknya akan berusaha memanjangkan kes remaja itu kepada pihak berkaitan supaya dapat membantu memudahkan urusan mereka.

 

Dalam Talian

We have 8 guests online

Kemaskini Terakhir

Dikemaskini Pada : 17 December 2014

Statistik Pelawat

Hari Ini:250
Semalam:184
Bulan Ini:5789
Keseluruhan:1463579
Sejak Tahun:2010-10-18